CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, October 30, 2010

Ilham menyentuh hati ini

22.10.2010
JUMAAT ( malam Sabtu )



Aku dan anak-anak diundang ke majlis yang sendirinya aku tidak pasti. Namun aku pergi atas nama undangan. Tidak menghampakan kerana juadah yang dihidangkan amat berbaloi dan yang paling penting dapat mengeratkan silaturrahim antara family tempat suami aku bertugas.Layanan dan kemesraan semua kenalan suami aku tidak menghampakan dan yang pastinya aku tidak terasing.

Wau! yang teruja adalah anak bongsu aku. Apa tidaknya, nombor bertuah belum diumumkan dia sudah mengangkat tangannya dan menyebut hadiah.Sungguh... malam tu kami dapat hadiah minyak masak. He..he boleh goreng keropok.

Aku membaca buku program hingga selesai. Kesimpulannya aku teruja akan bait-bait indah di bahagian belakang cetakan terakhir. Pada aku sangat menarik untuk dikongsi bersama.


SEMALAM ADALAH SUATU KENANGAN,
HARI INI ADALAH SUATU PENANTIAN.
KENANGAN SEMALAM HENDAKLAH KITA SIMPAN BUAT PEDOMAN DI HARI DEPAN
DAN KENYATAAN HARI INI HENDAKLAH KITA TEMPUHI DENGAN TABAH
TETAPI KITA JUGA HARUS BERSEDIA UNTUK MENANTI HARI ESOK YANG MERUPAKAN SUATU PENYEKSAAN......

Orang kata beringat sebelum terkena.

Wednesday, September 22, 2010

Satu Syawal yang pastinya aku redha

10.09.2010 bersamaan 1 Syawal 1431 H
Hari: JUMAAT

Bersyukur tidak terkira kerana di pagi yang syahdu aku buka mata ini yang aku masih bernafas dan setia bersama aku adalah suami yang tersayang juga anak-anak aku yang amat aku sayangi dan kasihi.Aku melihat satu persatu akan insan-insan yang aku kasihi. Hari yang berbahagia ini aku dapat merasai beraya bersama suami hampir duapuluh satu tahun dan bersama anak sulung aku yang sudah pun berusia duapuluh tahun.Allah sahaja yang tahu akan kebahagiaan ini yang ada dalam hati maupun perasaan aku. Syukur padaMu Ya Allah.

Pagi yang bahagia ini aku membuka TV agak kuat kerana aku ingin mendengar takbir Hari Raya untuk tahun ini. Sedih sungguh rasa hati tetapi aku perlu terus ceria kerana aku punya tanggungjawab terhadap insan-insan yang aku sayangi.Allah huakbar walillah hilham....Rutin seperti hari raya yang sebelum ini aku panaskan kesemua masakan yang telah siap dimasak pada malam hari raya. Hidangan seperti kuah kacang,nasi himpit,ketupat,rendang ayam dan kari ayam merupakan masakan wajib bagi keluarga aku.

Pada pagi hari raya ini kami mengenakan baju baru hari raya yang bertemakan warna biru.Wau! cantik sungguh kami menggayakan pakaian yang kami telah pilih untuk tahun 2010 ini. Lembut sahaja warnanya...Kami makan terlebih dahulu kerana sunat makan sebelum bersolat sunat idulfitri. Allah huakbar walillah hilham...

Untuk bersolat sunat dua rakaat idulfitri ini kami memilih untuk bersolat di surau Lorong 6 yang berdekatan dengan rumah ibu mertua aku. Selesai bersolat aku diajukan dengan perbagai soalan yang berkaitan dengan ibu mertua aku. Aku menjawab akan semua pertanyaan mereka kerana ibu mertua aku memang dikenali oleh masyarakat di Sungai Sireh dan khususnya pula di Lorong 6 kerana ibu mertua aku adalah orang yang agak lama tinggal di Sungai Sireh.

Kami singgah sebentar di rumah ibu mertua aku hanya untuk bermaafan dengan adik-adik ipar aku yang telah aku kenali hampir duapuluh satu tahun. Kata putus diambil dan kami bersiap lalu bertolak ke Meru yang merupakan transit awal kami sebelum ke hospital. Selesai semua perkara bertolaklah kami ke HOSPITAL TENGKU AMPUAN RAHIMAH KLANG. Aku bersama anak-anak perempuan terus melawat WAD 7B di mana ibu mertua aku menerima rawatan bagi penyakit komplikasi buah pinggangnya.Ahhhhh.... lemah sungguh kita menerima ujian Allah.Sedih jangan ditanya,yang pasti Syawal kali ini adalah dugaan yang mesti kami tempuhi walau apa yang akan terjadi.Pasrah akan ketentuanNya kerana kita adalah insan yang dicipta olehNya bagi memeriahkan bumi ini. Semua perkara yang wujud di dunia ini ada penyudahnya.Suami dan anak-anak menunaikan solat Jumaat berhampiran masjid yang berdekatan dengan hospital.

Aku melawat ibu mertua aku yang aku kira amat lemah sekali.Sedih sungguh.Kepalanya aku usap dan aku selawat di telinganya. Memang ibu mertua aku tidak sedar kerana berada dalam koma dan menggunakan alat penyambung hayat. Aku tidak mengambil masa yang lama.Usai aku menyalaminya aku terus keluar bersama Siti Sarah bagi memberi peluang kepada orang lain.Air mata di antara kami yang berada di hospital itu tidak berhenti-henti keluar. Fikiran kami pada masa itu sungguh sukar ditafsirkan maupun digambarkan.Jam 1.20 petang aku melihat doktor dan jururawat mengambil peranan yang luarbiasa. Apa yang ada di fikiran ini Allah sahaja yang mengetahuinya.Ibu mertua aku dimaklumkan oleh doktor yang bertugas telah kembali menemui penciptanya.Innalillahhiwainalilahhirojiun.... Ibu mertua aku pergi tidak akan kembali lagi....Hanya kenangan selama hampir duapuluh satu tahun itu menyingkap kembali apabila bual bicara berkaitan dengan sejarah keluarga suami aku.Doa aku semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang beriman............Amin.... Semua ini tinggal kenangan kini......

Monday, August 30, 2010

Panjang-panjangkan amal di bulan Ramadhan

19 Ramadhan 1431Hijrah
29.Ogos 2010


Salam Ramadhan buat muslim

Panjang amal di bulan Ramadhan

Tuesday, August 17, 2010

Ramadan 2010

Jam 5-30 petang.

AHAD

14.08.2010 bersamaan dengan 4 Ramadan, aku dan suami serta anak yang nombor tiga dan empat bertolak ke Rawang di mana anak perempuan aku iaitu yang nombor dua dan amat mesra dengan panggilan Angah bersekolah. Tujuan kami hanya satu iaitu berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama-sama. Aku pun tidak menyangka bahawa pada hari itu suami aku memilih untuk berbuka puasa bersamanya kerana tiada khabar pun akan berbuat demikian. Namun aku ikutkan sahaja. Orang kata senang ceritalah....



Dengan tiadanya membuat juadah berbuka aku tetap ke Rawang. Bagi suami aku jangan merumitkan keadaan katanya. Satu-satu jalan yang paling mudah adalah membeli juadah yang ada di jual di Bazaar Ramadan. Aku dan suami mengambil kata sepakat bahawa juadah untuk berbuka puasa di beli di Bazaar Ramadan di Kuala Selangor.

Murtabak ayam, sate ayam, ayam percik, nasi ayam berempah ,air dan adalah seketul dua kuih yang aku beli untuk berbuka bersamanya. Kami kira cukup untuk kami anak beranak. Sungguh aku sedih kerana tahun ini (2010 ) merupakan tahun pertama Angah tidak menyambut satu Ramadan bersama kami di rumah. Bertambah sedih lagi anak sulung aku juga tidak menyambut satu Ramadan bersama kami juga kerana menyambung pelajaran di USM. Sedih ... sedih... Sungguh-sungguh terasa yang anak-anak semakin besar dan kita sebagai ibubapa semakin renggang secara fizikalnya namun pertalian jasmani dan roh tetap ada mengiringi mereka walau di mana mereka berada. Doa aku semoga mereka berjaya, sihat dan di bawah lindungan serta peliharaan Allah hendaknya.






Jam 7.20 malam aku sampai di SBPI dan mengambil tempat di kantin. Rupa-rupanya ramai ibubapa mengambil kesempatan berbuka puasa bersama anak masing-masing. Suka sungguh aku melihat situasi seperti itu .Menjamah sedikit makanan, kami bersolat Magrib bersama jemaah lain di masjid sekolah tersebut. Usai bersolat kami menyambung semula makan juadah yang dibeli sehingga masuk waktu solat Isyak. Sekali lagi kami berjemaah bersama-sama sehingga solat sunat tarawih dan solat sunat witir tiga rakaat. Wau! terasa indahnya Ramadan kali ini dan berdoa semoga aku di beri kesempatan untuk menghabiskan Ramadan tahun ini. Insya Allah....


Pergi ke kedai beli rastali,
Beli bersama buah kurma,
Kot-kot minggu depan jumpa lagi,
Bolehlah kita sembang lama-lama.





Ketahuilah Angah bahawa mama dan abah tetap sayang dan rindu pada Angah. Doa kami semoga Angah succes dalam apa jua yang dilakukan." Semoga berjaya anak ku dalam perjuangan yang hebat untuk tahun ini"...pasti doa mama akan dititip setiap kali selepas solat...

Friday, August 6, 2010

Pulut kuning kari ayam

Aku mempunyai empat orang anak yang membesar dalam pemerhatian aku dan suami.Anak-anak aku tidak banyak kerenah kerana memang aku dan suami mendidik mereka dengan seadanya dan tidak mengutamakan kemewahan maupun kebendaan.

Anak sulung aku kini berusia 20 tahun dan menuntut di IPTA nun di Pulau Mutiara. Manakala anak kedua aku pula berusia 17 tahun dan kini belajar di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi , dekat Rawang. Dan, anak ketiga aku sedang belajar di tingkatan 2 di Sek Men Keb Seri Desa dekat pekan Tanjong Karang dalam negeri Selangor. Yang bongsu dan yang terakhir kot, kini belajar di PPKI di Sek Keb Batu 9, Jalan Bomba, juga di Tanjong Karang berusia 11 tahun.

Apa yang paling aku suka dengan mereka adalah mereka ini mempunyai citarasa yang sama, terutama dalam hidangan pulut. Anak aku pasti tidak menolak apabila pulut kuning yang aku hidangkan ataupun juga apabila aku membawa mereka menghadiri sesuatu majlis. Jika ada pulut kuning pasti itu akan menjadi pilihan pertama mereka.

Pada aku menyediakan hidangan pulut tidaklah susah manapun. Aku rasa paling senang dan santai. Orang kata boleh buat kerja lain apabila pulut kuning itu dikukus. Sudah tentu boleh tumis kari ayam. Pulut siap dikukus, kari ayam pun masak. Tak gitu............

Resepi aku mudah saja. Jom kita kongsi sama-sama. Mana tahu ada di antara kita yang anak-anaknya mempunyai selera yang sama. Kan........

Pulut kuning

Rendam pulut bersama kunyit semalaman
Kukus pulut buat kali pertama
Gaulkan pulut bersama santan yang telah di bubuh garam sesedap rasa
Kemudian kukus kali ke dua hingga masak

Kari ayam

Daging ayam ( siap untuk dimasak )
Rempah kari
Santan
Ubi kentang
Kerisek

Bahan tumisan

Bawang merah dan bawang putih
Kulit kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang
Daun kari
Sedikit halia

Dalam penyediaan masakan ini aku tidak mempunyai sukatan yang khusus. Orang kata ikut kata hati aje laaaa....
Itulah anak-anak aku...... mama amat sayang kalian. Moga panjang umur, dimurahkan rezeki dan dipermudahkan atas semua urusan di dunia maupun urusan akhirat. AMIN..........

Wednesday, August 4, 2010

Konvo.... konvo laa... gitu


Selama empat tahun lebih la gitu, aku belajar untuk menjadi seorang yang ada ijazah pertama paling kurang dalam hidup maupun kerjaya aku. Selama empat tahun juga suami tetap dan terus memberi sokongan terutama dalam membuat assigment. Apa nak buat dah hidup bersama, tidur pun sekatil cuma bernafas aje ikut lubang hidung masing-masing . Keh....Keh....

21hb Jun 2010

Baju konvo

Aku membeli kain daripada teman. Pada mata aku cantik aje... dah berkenan katakan lah. Adik aku yang menjahitkannya malah menjadi perunding dalam pemilihan warna tudung. Nak matching konon....Berbincang dengan suami apa yang patut dibuat lagi pada baju konvo ini bagi menaikkan seri baju. Suami mencadangkan agar aku menjahit manik-manik di bahagian hujung lengan baju tersebut, Katanya, pada bahagian hujung lengan saja yang nampak kerana bahagian lain telah ditutupi dengan jubah. Aku setuju saja kerana dalam memberi pendapat suami aku memang handal. Hasilnya memang cantik. Al maklum laa jahit sendiri. No komen laa... , kan gitu.....

Kasut konvo


Mengenai kasut konvo aku pulak berjenama GMX. Aku belinya semasa lawatan aku ke Pulau Langkawi. Pasti laa..Kedai Free Duty. Warna hitam, kerana suami aku kata,sesuai untuk semua baju dan majlis. Aku dah cakap, suami aku memang suka beri pendapat. Pada aku, no komen aje.........


Handbag




Paling sukar dalam pemilihan handbag. Yang mana satu sesuai untuk majlis konvo aku . Itu laa ..... orang beli sebuah saja tetapi aku beli dua buah.Pening juga tau dalam memilih dua benda yang kedua-duanya aku suka. Akhirnya aku memilih handbag bersaiz kecil yang hanya aku muatkan tisu, handphone dan lipstick. Handbag, aku memilih jenama GIO FIORE ( GF )

Anggapan aku semua orang sama dalam persiapan untuk majlis konvo bagi menerima ijazah yang diburu selama empat tahun itu.Memang berbaloi kerana sekali dalam hidup. Kan gitu...

Tuesday, August 3, 2010

Risik, Tunang dan dimiliki


Risik-risik

Hari Jumaat

Tarikh tidak lah dapat ku ingat tetapi harinya adalah hari Jumaat. Setiba aku di rumah, aku dikhabarkan yang ada sepasang suami isteri telah datang merisik aku. Lucu aku dibuatnya kerana ada juga orang yang berkenan akan diri ini. Keh...kehh... Aku bertanya, Jawa tua mana yang berkenan kat aku tu... Mak Ngah aku memberitahu memang Jawa tua yang bertanya mengenai aku, tetapi untuk anaknya yang muda macam aku... Malu dan tidak percaya. Memang sukar juga Mak Ngah nak meyakini aku kerana memang prinsip aku payah sikit laa nak percaya cakap orang ni... Kata Mak Ngah, bukti ada orang yang merisik aku tu ada lah membawa buah tangan. Buah-buahan barat seperti epal. Aku tidak berfikir apa-apa. Sebat aje laa.. rezeki..



Emmm.... tidak ada tangguh-tangguh dalam perkara ini. Ayah dengan cepat menyampaikan berita ini kepada nenek. Kata persetujuan pun dimeterikan. Pada masa yang ditetapkan mereka datang membawa cincin tanya. Alah...cincin belah rotan laa.Trend apa pada masa tu !!!.


Bertunang

Tanggal 18hb Oktober 1987

Tarikh pun ditetapkan atas persetujuan kedua belah pihak.Maka aku pun menjadi tunangannya. Hantaran tidak lah banyak hanya lima dulang berbalas tujuh dulang. Simple-simple je. Seingat aku,tunang aku tu adalah bagi sepasang baju, kek, cincin tunang pastinya, buah-buahan dan tudung kot. Pihak aku adalah bagi kek, biskut, dan buah-buahan. Maklum dalam keadaan tidak percaya tetapi aku pasrah sebab ayah telah bersetuju untuk berbesan dengan orang Jawa. Ikutkan cerita aku adalah orang kedua yang menerima orang Jawa dalam keluarga besar sebelah ayah dan ibu aku.

Perkahwinan

28hb. Julai 1989

Malam Sabtu selepas solat Isyak, rombongan sebelah suami datang bertandang ke rumah aku. Pada malam itulah aku dinikahkan dengan saudara ABU BAKAR BIN SEMAAT. Dengan dua kali lafaz aku pun sah menjadi isterinya selepas aku sendiri pun membuat pengakuan yang aku mahu menjadi isterinya. Sedih ada, gembira pun ada, entah macam-macam lagi perasaan pun ada yang aku sendiri pun tidak dapat nak perjelaskan.

Majlis berinai diadakan pada malam itu juga. Suami aku apa lagi, pun turut serta juga. Lucu juga aku kerana suami aku ditegur oleh emak saudara aku dalam kesilapannya semasa merenjis aku di pelamin. Pada keesokan harinya aku dan suami memilih songket hitam buat kenangan kami. Semoga aku dan suami hidup bahagia hingga ke akhir hayat.

Mama tetap sayang Sarah


Tarikh keramat dalam hidup aku : 07101999

Aku berjaya melahirkan anak ke empat kami iaitu seorang bayi yang amat comel dengan berat badannya 3.05 kg. Kiranya pada waktu malam lepas Isyak la gitu ye!. Keluarga dan kawan-kawan amat gembira dan memuji aku dan suami kerana pandai menyusun anak iaitu dimulai dengan anak lelaki dan berselang dengan anak perempuan. Anak aku yang ke empat ini seorang perempuan. Kata mereka selang bunga. Yeh... wah !. Aku dan suami senyum memanjang. Maklum jarang berlaku akan turutan seperti ini. Bangga sungguh aku..........


Aku tidak mahu bercerita panjang lebar, cukup sahaja cerita ini aku ringkaskan.kerana aku sehingga kini dalam proses pembelajaran dalam membesar dan memahami akan diri SITI SARAH.


Aku diberitahu pada keesokan harinya oleh seorang jururawat yang bertugas pada hari itu yang anak kami tidak normal seperti anak orang lain. Terasa waktu itu nak gugur jantung aku dan tidak percaya bahawa anak kami DOWN SINDROM. Siapa yang akan dapat menerima ketentuan ini pada mulanya, begitulah yang terjadi pada diri aku dan suami. Nak tau apa yang terjadi...... Aku dan suami tidak bertegur sapa selama tiga hari kerana apabila kami cuba berbincang pasti menangis. Suami aku sendiri pun macam tidak percaya akan ujian ini yang mesti kami pikul dalam melalui kehidupan berumahtangga. Ya.. ALLAH !! Apa yang pasti dan wajib kami lakukan adalah menyayangi seperti anak kami yang lain.

Walau apapun yang terjadi kami memang sayang padanya. Sesaat tidak nampak di mata pasti gelisah. Kepada abang dan kakaknya telah kami berpesan bahawa adik mereka ini tidak sesempurna seperti mereka, mereka wajib menyayangi dan membela nasibnya apabila kami tiada di dunia ini lagi............. Mama tetap sayang SITI SARAH dalam apa jua keadaan. Semoga panjang umur dan dirahmati selamanya. AMIN>>>>>>>>>>>>>>

Yeh ! aku dapat lagu

Syyyyyyyy

Aku pun satu masa dulu , pernah juga dapat kiriman lagu jiwang-jiwang. Siapa lagi suami aku sekarang laaa.( ABU BAKAR BIN SEMAAT ) Dia beri ketika kami sama-sama mencipta kebahagiaan.Gitulah ceritanya.

Judul lagu tu, pun memang mengancam. Apatah lagi kalau dinyanyikan. Liriknya punya laa aku suka. Kalau berkumandang di corong radio dalam kereta, pasti anak kedua aku ( SITI HAWA ) akan berkata," Eh!, ni kan lagu yang abah bagi kat mama tu?" Ahai... mengaku aje leee. Nak tipu pun anak-anak dah besar dan potongan lirik lagu tu pun memang terpamer dalam frame gambar aku masa muda belia dulu-dulu. Wow ! Romantik juga kiranya suami aku tuuu.

Cintamu Mekar Di Hati


Kau umpama bunga yang mekar di hatiku
Ku harap kau mekarlah selama-lamanya
Kau umpama bintang menyinari hidupku
Ku harap kau terus bersinar

Korus:

Ketika kau perlukan aku
Sentiasa aku ada di sisimu
Di ketika ku rindu padamu
Terasa cinta semakin dalam
Sayang..... kasih ku abadi
Cintamu mekar di hati ini
Kau dalam ingatan di sepanjang hayatku
Demi teguhnya cinta selama-lamanya.....

( Siaran lirik ehsan Warnada )
Lagu & nyanyian: Kumpulan M.A.Y.
Lirik: Juwie

Jika ada kenangan yang sama, mari kita mendoakan kebahagiaan bersama...........

Wow!! Ulang tahun 21


Tanggal 28.7.2010

Tarikh ini datang tanpa jemu saban tahun. Tapi untuk ulang tahun kali ini, seperti biasa aku juga tidak menyedari akan kemunculannya. Ah..............mungkin agak sibuk dengan urusan kerja rumah dan kerjaya aku. Walau bagaimanapun aku tetap bersyukur kerana ulang tahun perkahwinan aku dengan suami tersayang dapat disambut tepat pada tarikhnya. Heh...Heh....

Sambutan kali ini, kami sambut di restaurant kat Sekinchan. Kami makan mengikut menu pilihan sendiri. Walau tiada candle yang menyinari meja makan,aku dan suami serta anak ketiga dan ke empat tetap berselera menyuapi hidangan yang menjadi pilihan kami.

Emmm...... malam sambutan itu, kami mendapat ucapan tahniah daripada anak sulung aku yang kini sedang belajar di USM, Pulau Pinang dan juga anak kedua aku yang belajar di SBPI, Rawang, Selangor. Masing-masing mendoakan kesejahteraan untuk kehidupan kami. Terima kasih buat anak-anak tersayang. Juga tidak aku lupakan untuk mendoakan kebahagiaan dan kejayaan untuk anak-anak yang amat aku sayangi lagi aku kasihi dunia dan akhirat. Ucapan terima kasih juga kepada adik-beradik dan rakan-rakan yang sudi mendoakan kebahagiaan kami.

Sesungguhnya aku bersyukur mendapat suami dan anak-anak yang sentiasa menyayangi aku dan sesungguhnya aku akan mendoakan agar kebahagiaan akan menjadi milik kami sekeluarga dalam susah maupun senang.......AMIN>>>>>>>>>>>>>

Tuesday, July 27, 2010

Panggilan laut.............laut laa sangat.....


Malam itu aku dan kakak serta adik nombor empat dipelawa oleh ayah untuk ke laut bersamanya pada esok harinya. Mulalah aku dan kakak merancang apa bekalan yang akan dibawa bagi melapik perut ketika berada di laut nanti. Dengan pantas kakak mengambil keputusan agar membawa bekalan nasi dan sambal tumis. Ahhhh... memang menjadi kegemaran kami. Malam itu kami membuat persiapan seperti yang dirancangkan. Bakul siap berisi botol air masak dari awal telah disediakan hanya menunggu nasi dan sambal tumis yang akan dimasak di subuh hari nanti. Emmmmmmmmmmmmm.... malam itu memang tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana membayangkan memori indah yang bakal ditempuhi pada keesokannya. Harapannya hanya yang best-best je!..........

Pagi-pagi lagi kami keluar dari rumah dengan membonceng basikal dan ayah menunggang motosikalnya menuju ke jeti di mana tempat ayah menambat botnya. Seronok kami kerana menyusuri sungai lalu menuju ke laut yang luas terbentang saujana mata memandang. Ayah memang mahir dalam mengendalikan botnya. Wow....! laju sungguh. Bekalan yang kami bawa dibiarkan tidak berusik. Percikan air laut amat menyeronokkan.

Ayah mula memperlahankan kelajuan botnya dan mulalah ayah mengeluarkan penyauk kerang. Berpusing-pusing keadaan bot dan sesekali sauk diangkat, maka kerang-kerang yang diperolehi dituang ke dalam bot. Banyak sungguh.... Waktu ini yang membuatkan perut dan kepala bagai dipulas-pulas. Punya laa senak dan pening. Kakak paling aku kesiankan kerana muntah yang amat sangat. Sampai.... MUNTAH HIJAU...Ayah dalam nada memperli menyatakan yang datang ke laut ini memang kerja yang seronok. Lembik keadaan kami. Seingat aku bermacam ikan juga yang dapat termasuk udang dan sotong. Bekal yang kami bawa langsung tidak di makan.

Pulang dengan keadaan yang amat lesu dan letih. Malamnya tidur di atas katil bagaikan berada di laut. Rasanya beralun-alun. Mungkin satu pengalaman yang indah dan dapat dirasai keseronokannya, apabila diceritakan oleh anak-anak nelayan yang mempunyai memori yang sama. Ke laut laaaaa...........sangat..............

Monday, July 26, 2010

Kuih ketayap

Aha, seingat aku ketika itu aku berada di tingkatan 4 sekitar tahun 1980. Entah apa yang menyebabkan aku dan kakak terlibat secara langsung dalam pembuatan kuih tradisional ini, aku pun tidak pasti. Yang aku ingat ayah dan mak ngah ( ibu tiri ) menggalakkan kami untuk membuat kuih tersebut bagi menampung duit kocek. Kami akur kerana ayah memang mempunyai kata pemutus dalam mencorak kehidupan anak-anaknya dan seterusnya keluarga yang dibina buat kali ke dua selepas ibu kembali kepada penciptanya. Al-Fatihah buat ibu tercinta setiap kali ingatan terhadapnya mampir di kotak fikiran ini.

Siiirr...Setiap hari menjelang subuh sekitar jam lima aku dan kakak mula membancuh tepung dan menebar di kuali. Inti kelapanya sudah kami bereskan sebelum tidur lagi agar mempermudahkan lagi kerja kami dalam pembuatan kuih ketayap.Kerja ini aku tidaklah angkat bakul sendiri, hakikatnya memang aku mahir. Kuih ini akan ayah bawa ke kedai kopi berhampiran ketika ayah pergi menunaikan solat subuh di masjid ataupun ketika ayah hendak pergi ke laut kerana ayah adalah seorang nelayan yang berjaya. Sepengetahuan aku ayah pernah dinobatkan sebagai nelayan jaya peringkat kebangsaan sebanyak tiga kali.Bangga aku dengan kejayaan yang diperolehinya, kerana seingatan aku ayah adalah seorang yang amat komited akan sesuatu kerja yang dilakukannya.




He..he menjelang petang ayah akan mengambil bekas kuih dan dibawa pulang bersama dengan duit hasil jualan. Seronok juga kerana kuih yang kami buat habis dijual dan yang pastinya dapat mengenyangkan pembeli yang sudi membeli dan menikmati kuih ketayap yang kami buat. Terima kasih ayah dan mak ngah (ibu tiri ) yang memberi peluang buat aku dan kakak dalam pembuatan kuih tradisional ini dan bila mana setiap kali aku menyediakan sarapan pagi dengan kuih ini, pasti memori kuih ketayap ini berada dalam ingatanku. Yang pastinya dan seronoknya kuih ini dapat ku sediakan untuk anak-anak dan suami tercinta. Alhamdulillah...sehingga kini dapat ku ingat lagi kenangan kuih ketayap yang HANGIT akibat terlelap kerana di kala itu ada insan yang seenaknya diulit mimpi aku dan kakak bersilat dengan kuali dan bancuhan tepung. Pastinya aku dan kakak adalah orang yang mungkinnya terror dalam pembuatan kuih KETAYAP. Ewaaaaah...........

Thursday, July 22, 2010

Alahai.....Kenangan lalu


Ketika itu aku berusia dalam lingkungan 16 tahun. Dalam usia begini ramailah yang ingin berkenalan dan cubaan usik-usik gatal. Alahai, itu semua tidak aku kisahkan kerana ianya satu proses kehidupan untuk mematangkan seseorang. Namun apa yang penting kita buat tidak kisah saja akan perkara itu. Apabila pulang dari sekolah atau dari mana sekali pun, pasti ada jejaka yang menunggu untuk suit-suit menegur pada aku. Alahai, senyum sajalah....Itulah kehidupan aku ketika berusia 16 tahun. Namun setakat itu sahaja yang berani jejaka ketika itu untuk mengusik kerana mereka sendiri arif perihal ayah yang terkenal dengan garangnya. Ketika mereka melintasi hadapan rumah aku walaupun ketika itu kami adik beradik berlonggok mengambil angin di bawah pokok pelam, mereka takkan berani untuk menoleh. TAKUT.

Pernah suatu ketika itu ada seorang jejaka yang lagaknya sungguh berani dengan cubaan mengenyitkan matanya pada aku. Aku sendiri pun berasa amat lucu dan hanya cuba membalasnya, tidak pula aku ketahui yang ayah memerhatikan aku dan jejaka yang berani itu. Alangkah terkejutnya aku bahawa ayah dengan pantas terus menyoal aku sama ada aku mengenali akan jejaka itu. Rasanya macam nak putus usus perut aku dibuatnya. Ayah dengan pantas mengambil motornya lalu mengekori jejaka tersebut . Aku pun tidaklah dapat mengetahui apa yang dibincangkan. Sungguh-sungguh aku mengharapkan agar perkara yang tidak baik tidak akan terjadi kepada jejaka itu. Malu pun ada tetapi bila difikirkan semula... terima kasih kepada ayah yang menjaga anak perempuannya supaya tidak alpa akan keseronokan dunia. Ayah selalu berkata, " membela lembu sekandang lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang".Kini hanya kenangan saja..................

Wednesday, June 9, 2010

Suatu ketika itu dan badminton

Menjadi jaguh di sekolah memang menjadi impian setiap pelajar.Sekitar pengalaman menjadi jaguh badminton di sekolah rendah memang menyeronokkan tambahan pula berada bersama-sama kawan-kawan yang sekepala.Sepanjang untuk menjadi jaguh banyaklah sesi latihan yang ditempuhi.Apa pun tidak menjadi hal kerana ingin terpilih dan dikenali dalam kalangan rakan sebaya maupun rakan persekolahan.

Peristiwa yang menggembirakan adalah aku telah terpilih untuk mewakili sekolah peringkat zon .Bertandinglah kami di DEWAN MELAWATI KUALA SELANGOR. Seronok sangat. Seingat aku pasukan badminton sekolah gagal tetapi yang menariknya kami dapat ke Kuala Selangor dan dapat ke luar dari kawasan Sungai Burung dan pekan Tanjong Karang. He...heh...! yang penting dapat naik kereta cikgu........Tambah-tambah lagi keluarga aku sendiri tiada sesiapapun memiliki kereta dan yang hanya ada sebuah sampan yang sederhana besar yang digunakan oleh ayah aku untuk mencari rezeki di laut.

Kisah sebagai pemain badminton ini yang mengingatkan aku pada suatu cerita bila mana pertandingan itu habis menjelang malam.Mungkin sekitar jam 10.00malam.Waktu untuk kembali ke rumah, cikgu hanya mahu hantar sampai di sekolah sahaja sedangkan rumah aku dengan sekolah agak jauh,dan untuk berjalan kaki agak memenatkan dan rasanya yang paling utama adalah .... TAKUT...........Apa yang paling aku takut adalah pada ayah kerana aku pergi bertanding itu ayah tidak tahu.Kenapa ayah tidak tahu?.....pelik kan? yang sebenarnya ayah adalah seorang yang autordok.

Di padang Sekolah Kebangsaan Sungai Burung pada malam itu adalah konsert Orkest Al Suraya dari Indonesia.Memang teringin nak tengok tetapi yang penting perlu balik ke rumah kerana aku sendiri tidak tahu akan nasib aku .Apa yang perlu aku beritahu pada ayah. Malam itu aku bernasib baik kerana Pak cik Samat yang kini bekerja sebagai ahli bomba sudi menghantar aku untuk pulang.Berfikir panjang aku..........aku membonceng basikalnya dengan disuluh oleh lampu goslin. Lucu juga................ Sesampai sahaja di rumah ayah memangang aku dari atas ke bawah dan bawah ke atas. Kecut usus perut terasanya. Gelabah dan takut pada ayah hanya Allah yang tahu. Tapi semuanya selamat. Semuanya kenangan indah suatu ketika dulu dapat mendewasakan kehidupan yang dilalui. Aku doakan semoga Pakcik Samat gembira bersama keluarga, di sihatka kesihatannya dan ditetapka imanNya.

Indahnya suatu ketika itu

Memori muncul menjengah ruang minda bagi mengenang dan mengimbau kisah suka dan duka yang dilalui dalam kehidupan yang mendewasakan dan mematangkan diri kita. Pun begitu setiap yang dilalui itu pedih untuk ditempuhi ketika itu dan manisnya bila diingatkan yang mana setiap peristiwa itu adalah untuk mematangkan kita bagi memenuhi keperluan dan tuntutan kehidupan. Walau bagaimanapun itu semua adalah pengalaman yang menarik dan indah bila dewasa kini.Justeru itu terima kasih kepada sesiapa yang memberi inspirasi dan tunjuk ajar sehingga kini aku dapat membezakan ianya suatu yang baik dan indah yang telah dilalui itu kini telah kukecapi dengan baik dan membahagiakan dan perkara yang suatu ketika itu dahulu begitu melemaskan dan rasa kecelaruan yang kadang-kadang rasanya tidak tertanggung,kini semuanya aku jadikan setiap peristiwa yang dilalui itu ianya bagi mendewasakan diri. Alhamdullillah.............................

Masih aku ingat lagi ketika itu di darjah tiga bila mana salah seorang rakan di kelas telah dibotakkan kepalanya oleh ibu atau mungkin ayahnya sendiri.Lucu juga kerana rakan aku itu seorang perempuan. Hari pertama dia hadir ke sekolah dengan kepala botak itu memang menjadi bahan usikan kawan-kawan. Ahhh.....apakan daya hanya yang mampu kawan aku lakukan adalah menangis dan tidak mahu berkawan dengan kami. Akhirnya dapat jua kami ketahui mengapa dia dibotakkan.Emmmmmmmmmm sudah pasti BERKUTU dan BERKUDIS yang agak kritikal.Hari-hari persekolahan yang berikutnya kawan aku itu memakai topi bagi menutup permasalahan itu. Peristiwa itu berlaku yang suatu ketika itu aku berada di darjah tiga pada tahun 1973

Pasti kawan aku itu ingat akan cerita yang dia alami ini dan aku mendapat cerita dan jua berita yang kini dia telah berjaya dalam kehidupan dengan suaminya yang memang dia sayangi dari zaman persekolahan menengah dan ceria bersama-sama dengan anak-anak yang bijak-bijak. Aku doakan kau tetap bahagia,,dimurahkan rezeki dan dipanjangkan usia jua ditetapkan iman.........wahai kawanku.........

Tuesday, June 8, 2010

KETIKA SUATU WAKTU DULU

Langkah perjalanan kehidupan bermula di tahun 1972 di mana kami adik beradik di uji oleh Allah SWT bila mana orang yang mendidik dan membelai kami di ambil oleh Allah yang mana ketika itu sudah pastinya kami amat memerlukan kasih dan sayang dan jua perhatian daripada ibu tercinta sebagaimana kawan-kawan yang seusia denganku. Di sinilah bermulanya episod demi episod yang memburu perjalanan kehidupanku. Ketika itu kehidupan yang penuh keceriaan di ragut dengan cepat. Maut itu tiada yang siapa tahu dan bila ketikanya. Tinggallah kami lima beradik meneruskan kehidupan bersama ayah tercinta.

Perjalanan kehidupan persekolahan amat perit kerana semua urusan persekolahan kami adik beradik yang terpaksa uruskan.Tambahan pula abang yang sulung ketika itu baru berusia tiga belas tahun dan adik yang bungsu berusia empat tahun serta aku sendiri baru berusia lapan tahun dan aku bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Burung. Memang perjalanan perlu diteruskan tetapi kekurangan tetap ada.

Kehidupan kami seolah-olah tiada perancangan di mana kami ditempatkan di rumah nenek di sebelah ibu dan di sebelah ayah, Perit memang perit ...............Ayah..........pastinya paling terasa dengan ujian dan dugaan ini kerana ayah adalah seorang nelayan yang selalu berpindah dari satu bagan ke satu bagan. Kami hanya dapat berjumpa ayah seminggu sekali bila mana ayah akan pulang menghantar bekalan makanan. Sudah pasti beras dan sardin untuk anak-anaknya. Kesian ayah............Itulah kehidupan di tahun 1972 yang kini diingat-ingat rasanya tidak tertelan air liur. Ku panjatkan doa untuk ibu semoga ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Coretan ini berhenti di ketika ini dan episod seterusnya akan ku bingkiskan lagi.