10.09.2010 bersamaan 1 Syawal 1431 H
Hari: JUMAAT
Bersyukur tidak terkira kerana di pagi yang syahdu aku buka mata ini yang aku masih bernafas dan setia bersama aku adalah suami yang tersayang juga anak-anak aku yang amat aku sayangi dan kasihi.Aku melihat satu persatu akan insan-insan yang aku kasihi. Hari yang berbahagia ini aku dapat merasai beraya bersama suami hampir duapuluh satu tahun dan bersama anak sulung aku yang sudah pun berusia duapuluh tahun.Allah sahaja yang tahu akan kebahagiaan ini yang ada dalam hati maupun perasaan aku. Syukur padaMu Ya Allah.
Pagi yang bahagia ini aku membuka TV agak kuat kerana aku ingin mendengar takbir Hari Raya untuk tahun ini. Sedih sungguh rasa hati tetapi aku perlu terus ceria kerana aku punya tanggungjawab terhadap insan-insan yang aku sayangi.Allah huakbar walillah hilham....Rutin seperti hari raya yang sebelum ini aku panaskan kesemua masakan yang telah siap dimasak pada malam hari raya. Hidangan seperti kuah kacang,nasi himpit,ketupat,rendang ayam dan kari ayam merupakan masakan wajib bagi keluarga aku.
Pada pagi hari raya ini kami mengenakan baju baru hari raya yang bertemakan warna biru.Wau! cantik sungguh kami menggayakan pakaian yang kami telah pilih untuk tahun 2010 ini. Lembut sahaja warnanya...Kami makan terlebih dahulu kerana sunat makan sebelum bersolat sunat idulfitri. Allah huakbar walillah hilham...
Untuk bersolat sunat dua rakaat idulfitri ini kami memilih untuk bersolat di surau Lorong 6 yang berdekatan dengan rumah ibu mertua aku. Selesai bersolat aku diajukan dengan perbagai soalan yang berkaitan dengan ibu mertua aku. Aku menjawab akan semua pertanyaan mereka kerana ibu mertua aku memang dikenali oleh masyarakat di Sungai Sireh dan khususnya pula di Lorong 6 kerana ibu mertua aku adalah orang yang agak lama tinggal di Sungai Sireh.
Kami singgah sebentar di rumah ibu mertua aku hanya untuk bermaafan dengan adik-adik ipar aku yang telah aku kenali hampir duapuluh satu tahun. Kata putus diambil dan kami bersiap lalu bertolak ke Meru yang merupakan transit awal kami sebelum ke hospital. Selesai semua perkara bertolaklah kami ke HOSPITAL TENGKU AMPUAN RAHIMAH KLANG. Aku bersama anak-anak perempuan terus melawat WAD 7B di mana ibu mertua aku menerima rawatan bagi penyakit komplikasi buah pinggangnya.Ahhhhh.... lemah sungguh kita menerima ujian Allah.Sedih jangan ditanya,yang pasti Syawal kali ini adalah dugaan yang mesti kami tempuhi walau apa yang akan terjadi.Pasrah akan ketentuanNya kerana kita adalah insan yang dicipta olehNya bagi memeriahkan bumi ini. Semua perkara yang wujud di dunia ini ada penyudahnya.Suami dan anak-anak menunaikan solat Jumaat berhampiran masjid yang berdekatan dengan hospital.
Aku melawat ibu mertua aku yang aku kira amat lemah sekali.Sedih sungguh.Kepalanya aku usap dan aku selawat di telinganya. Memang ibu mertua aku tidak sedar kerana berada dalam koma dan menggunakan alat penyambung hayat. Aku tidak mengambil masa yang lama.Usai aku menyalaminya aku terus keluar bersama Siti Sarah bagi memberi peluang kepada orang lain.Air mata di antara kami yang berada di hospital itu tidak berhenti-henti keluar. Fikiran kami pada masa itu sungguh sukar ditafsirkan maupun digambarkan.Jam 1.20 petang aku melihat doktor dan jururawat mengambil peranan yang luarbiasa. Apa yang ada di fikiran ini Allah sahaja yang mengetahuinya.Ibu mertua aku dimaklumkan oleh doktor yang bertugas telah kembali menemui penciptanya.Innalillahhiwainalilahhirojiun.... Ibu mertua aku pergi tidak akan kembali lagi....Hanya kenangan selama hampir duapuluh satu tahun itu menyingkap kembali apabila bual bicara berkaitan dengan sejarah keluarga suami aku.Doa aku semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang beriman............Amin.... Semua ini tinggal kenangan kini......
Wednesday, September 22, 2010
Satu Syawal yang pastinya aku redha
Posted by Siti Rohani Abd Halim at 1:28 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment