CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, July 27, 2010

Panggilan laut.............laut laa sangat.....


Malam itu aku dan kakak serta adik nombor empat dipelawa oleh ayah untuk ke laut bersamanya pada esok harinya. Mulalah aku dan kakak merancang apa bekalan yang akan dibawa bagi melapik perut ketika berada di laut nanti. Dengan pantas kakak mengambil keputusan agar membawa bekalan nasi dan sambal tumis. Ahhhh... memang menjadi kegemaran kami. Malam itu kami membuat persiapan seperti yang dirancangkan. Bakul siap berisi botol air masak dari awal telah disediakan hanya menunggu nasi dan sambal tumis yang akan dimasak di subuh hari nanti. Emmmmmmmmmmmmm.... malam itu memang tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana membayangkan memori indah yang bakal ditempuhi pada keesokannya. Harapannya hanya yang best-best je!..........

Pagi-pagi lagi kami keluar dari rumah dengan membonceng basikal dan ayah menunggang motosikalnya menuju ke jeti di mana tempat ayah menambat botnya. Seronok kami kerana menyusuri sungai lalu menuju ke laut yang luas terbentang saujana mata memandang. Ayah memang mahir dalam mengendalikan botnya. Wow....! laju sungguh. Bekalan yang kami bawa dibiarkan tidak berusik. Percikan air laut amat menyeronokkan.

Ayah mula memperlahankan kelajuan botnya dan mulalah ayah mengeluarkan penyauk kerang. Berpusing-pusing keadaan bot dan sesekali sauk diangkat, maka kerang-kerang yang diperolehi dituang ke dalam bot. Banyak sungguh.... Waktu ini yang membuatkan perut dan kepala bagai dipulas-pulas. Punya laa senak dan pening. Kakak paling aku kesiankan kerana muntah yang amat sangat. Sampai.... MUNTAH HIJAU...Ayah dalam nada memperli menyatakan yang datang ke laut ini memang kerja yang seronok. Lembik keadaan kami. Seingat aku bermacam ikan juga yang dapat termasuk udang dan sotong. Bekal yang kami bawa langsung tidak di makan.

Pulang dengan keadaan yang amat lesu dan letih. Malamnya tidur di atas katil bagaikan berada di laut. Rasanya beralun-alun. Mungkin satu pengalaman yang indah dan dapat dirasai keseronokannya, apabila diceritakan oleh anak-anak nelayan yang mempunyai memori yang sama. Ke laut laaaaa...........sangat..............

Monday, July 26, 2010

Kuih ketayap

Aha, seingat aku ketika itu aku berada di tingkatan 4 sekitar tahun 1980. Entah apa yang menyebabkan aku dan kakak terlibat secara langsung dalam pembuatan kuih tradisional ini, aku pun tidak pasti. Yang aku ingat ayah dan mak ngah ( ibu tiri ) menggalakkan kami untuk membuat kuih tersebut bagi menampung duit kocek. Kami akur kerana ayah memang mempunyai kata pemutus dalam mencorak kehidupan anak-anaknya dan seterusnya keluarga yang dibina buat kali ke dua selepas ibu kembali kepada penciptanya. Al-Fatihah buat ibu tercinta setiap kali ingatan terhadapnya mampir di kotak fikiran ini.

Siiirr...Setiap hari menjelang subuh sekitar jam lima aku dan kakak mula membancuh tepung dan menebar di kuali. Inti kelapanya sudah kami bereskan sebelum tidur lagi agar mempermudahkan lagi kerja kami dalam pembuatan kuih ketayap.Kerja ini aku tidaklah angkat bakul sendiri, hakikatnya memang aku mahir. Kuih ini akan ayah bawa ke kedai kopi berhampiran ketika ayah pergi menunaikan solat subuh di masjid ataupun ketika ayah hendak pergi ke laut kerana ayah adalah seorang nelayan yang berjaya. Sepengetahuan aku ayah pernah dinobatkan sebagai nelayan jaya peringkat kebangsaan sebanyak tiga kali.Bangga aku dengan kejayaan yang diperolehinya, kerana seingatan aku ayah adalah seorang yang amat komited akan sesuatu kerja yang dilakukannya.




He..he menjelang petang ayah akan mengambil bekas kuih dan dibawa pulang bersama dengan duit hasil jualan. Seronok juga kerana kuih yang kami buat habis dijual dan yang pastinya dapat mengenyangkan pembeli yang sudi membeli dan menikmati kuih ketayap yang kami buat. Terima kasih ayah dan mak ngah (ibu tiri ) yang memberi peluang buat aku dan kakak dalam pembuatan kuih tradisional ini dan bila mana setiap kali aku menyediakan sarapan pagi dengan kuih ini, pasti memori kuih ketayap ini berada dalam ingatanku. Yang pastinya dan seronoknya kuih ini dapat ku sediakan untuk anak-anak dan suami tercinta. Alhamdulillah...sehingga kini dapat ku ingat lagi kenangan kuih ketayap yang HANGIT akibat terlelap kerana di kala itu ada insan yang seenaknya diulit mimpi aku dan kakak bersilat dengan kuali dan bancuhan tepung. Pastinya aku dan kakak adalah orang yang mungkinnya terror dalam pembuatan kuih KETAYAP. Ewaaaaah...........

Thursday, July 22, 2010

Alahai.....Kenangan lalu


Ketika itu aku berusia dalam lingkungan 16 tahun. Dalam usia begini ramailah yang ingin berkenalan dan cubaan usik-usik gatal. Alahai, itu semua tidak aku kisahkan kerana ianya satu proses kehidupan untuk mematangkan seseorang. Namun apa yang penting kita buat tidak kisah saja akan perkara itu. Apabila pulang dari sekolah atau dari mana sekali pun, pasti ada jejaka yang menunggu untuk suit-suit menegur pada aku. Alahai, senyum sajalah....Itulah kehidupan aku ketika berusia 16 tahun. Namun setakat itu sahaja yang berani jejaka ketika itu untuk mengusik kerana mereka sendiri arif perihal ayah yang terkenal dengan garangnya. Ketika mereka melintasi hadapan rumah aku walaupun ketika itu kami adik beradik berlonggok mengambil angin di bawah pokok pelam, mereka takkan berani untuk menoleh. TAKUT.

Pernah suatu ketika itu ada seorang jejaka yang lagaknya sungguh berani dengan cubaan mengenyitkan matanya pada aku. Aku sendiri pun berasa amat lucu dan hanya cuba membalasnya, tidak pula aku ketahui yang ayah memerhatikan aku dan jejaka yang berani itu. Alangkah terkejutnya aku bahawa ayah dengan pantas terus menyoal aku sama ada aku mengenali akan jejaka itu. Rasanya macam nak putus usus perut aku dibuatnya. Ayah dengan pantas mengambil motornya lalu mengekori jejaka tersebut . Aku pun tidaklah dapat mengetahui apa yang dibincangkan. Sungguh-sungguh aku mengharapkan agar perkara yang tidak baik tidak akan terjadi kepada jejaka itu. Malu pun ada tetapi bila difikirkan semula... terima kasih kepada ayah yang menjaga anak perempuannya supaya tidak alpa akan keseronokan dunia. Ayah selalu berkata, " membela lembu sekandang lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang".Kini hanya kenangan saja..................